Friday, June 25, 2010

Asas Multimedia

Konsep dan Kepentingan


Dari perspektif bahasa, multimedia berasal daripada dua perkataan iaitu ”multi” dan ”media”.

• Multi merujuk kepada pelbagai atau lebih daripada satu.

• Media merujuk kepada medium atau alat-alat yang digunakan sebagai saluran komunikasi.


Oleh itu, dari perspektif bahasa multimedia merujuk kepada penggunaan lebih dari satu medium sebagai saluran komunikasi atau menyampaikan maklumat.



Apabila teknologi komputer mendominasi setiap aspek kehidupan manusia, konsep kepelbagaian media dalam multimedia difokuskan kepada teknologi dan perkakasan komputer. Sehubungan itu, konsep multimedia merujuk kepada penggunaan pelbagai media seperti grafik, teks, animasi, audio dan video yang diintegrasikan untuk tujuan komunikasi dan penyampaian maklumat.



Multimedia juga merupakan suatu sistem yang membolehkan capaian secara bebas serta interaksi berlaku antara komputer dan pengguna. Sehubungan itu, Jamalludin & Zaidatun (2005) mendefinisikan multimedia sebagai suatu proses komunikasi interaktif berasaskan penggunaan teknologi komputer yang menggabungkan penggunaan media audio visual seperti teks, grafik, audio, video dan animasi



Secara umumnya multimedia merujuk kepada penggunaan pelbagai media seperti grafik, teks, animasi, video dan audio yang diintegrasikan untuk tujuan komunikasi dan penyampaian maklumat.



Ringkasnya, multimedia itu didefinisikan sebagai suatu persembahan maklumat dan komunikasi yang mengintegrasikan elemen-elemen seperti berikut:

• teks,

• grafik

• audio

• video

• animasi



Multimedia interaktif pula merupakan multimedia yang mempunyai ciri-ciri interaktiviti iaitu membenarkan pengguna meneroka sesuatu maklumat berdasarkan kehendak dan kelajuan sendiri.



Kepentingan multimedia dalam pendidikan ialah dari segi penyediaan pelbagai peluang kepada pendidik mengaplikasikan pelbagai teknik pengajaran melalui multimedia. Pengetahuan dalam reka bentuk pengajaran boleh diaplikasikan dalam membangunkan pakej pembelajaran multimedia yang dapat menyokong pembelajaran pelajar.



Pendekatan pembelajaran berasaskan multimedia mampu memindahkan sesuatu maklumat daripada buku kepada suatu corak pembelajaran baru yang lebih menarik, dinamik dan interaktif dengan bantuan media-media tambahan selain teks seperti grafik, audio, video dan animasi.



Pelajar pula boleh mengawal pembelajaran mereka sendiri berdasarkan teknik belajar yang sesuai dengan mereka, membina pengetahuan berdasarkan keperluan mereka serta mengalami suasana pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan. Kehadiran teknologi multimedia menerusi internet telah meningkatkan kemampuan proses capaian maklumat dengan lebih mudah dan pantas.



Ringkasnya, faedah aplikasi multimedia dalam pendidikan adalah seperti berikut:

• Pengajaran akan menjadi lebih efektif dengan adanya integrasi elemen-elemen multimedia.

• Menarik minat pelajar

• Meningkatkan motivasi pelajar.

• Pelajar dapat belajar pada tahap kendiri dan pada bila-bila masa sahaja.

• Menjimat masa dan kos.

• Pelbagai sumber dan bahan dapat disimpan dan digunakan dengan adanya kemudahan internet dan perpustakaan maya.







2.2 Elemen – Elemen Multimedia



Elemen multimedia seperti teks, grafik, audio, video dan animasi perlulah ditukarkan kepada format digital sebelum dapat digabungkan ke dalam satu aplikasi. Perisian khusus perlu digunakan bagi setiap elemen multimedia. Seterusnya, semua elemen ini digabungkan bagi membentuk satu pakej multimedia sama ada dalam format CD atau laman web.





Teks

• Teks merupakan satu media yang sangat penting dalam penyampaian maklumat melalui gabungan aksara yang terdiri daripada huruf (A – Z), nombor (0 – 9) dan simbol (contohnya @,# $ % ~ /).

• Teks mempunyai pelbagai muka taip (Typeface) dan saiz yang menjadikannya menarik serta unik. Muka taip sesuatu teks merujuk kepada rupa bentuk satu kumpulan aksara. Manakala kumpulan aksara ini pula mempunyai pelbagai jenis saiz dan gaya yang dikenali sebagai fon. Fon boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu serif dan sans serif.

• Gabungan huruf yang bersesuaian akan membentuk satu perkataan yang membawa makna tertentu kepada pembaca





Grafik

• Grafik ialah imej digital yang dihasilkan melalui komputer atau imej yang diubah bentuk daripada analog kepada digital.

• Imej digital dihasilkan dengan menggunakan pengimbas atau kamera digital.

• Imej digital juga boleh dihasilkan dengan menggunakan perisian seperti Paint, Adobe Illustrator dan CorelDraw.

• Grafik boleh disunting dengan perisian yang khusus, disimpan dan dimampat dalam pelbagai format fail. Sebagai contoh, imej boleh dimanipulasikan dengan menggunakan perisian Adobe Photoshop.

• Imej digital boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu imej berasaskan raster dan imej vektor.

• Imej raster juga dikenali sebagai grafik Bitmap. Imej ini dibina melalui gabungan piksel dan boleh disunting menggunakan perisian penyuntingan grafik seperti Adobe Photoshop. Fail grafik yang dihasilkan boleh disimpan dalam pelbagai format seperti .psd, .jpeg, .tiff, .bmp, .png dan .pct.

• Imej vektor merupakan imej yang dihasilkan dengan menggunakan formula matematik yang membolehkan garisan dan lengkuk dibina. Ciri inilah yang menyebabkan imej vektor dapat dibesarkan dan dikecilkan tanpa mengubah dan menjejaskan resolusi atau kualiti imej. Imej ini boleh dihasilkan dengan mengggunakan perisian penghasilan grafik seperti Adobe Illustrator, CorelDRAW dan Macromedia FreeHand. Contoh, jenis format fail grafik vektor ialah .eps, .wmf, .ddr, .dxf, dan .swf.

• Grafik membantu dalam menjelaskan sesuatu mesej dengan lebih berkesan.

• Grafik juga menjadikan sesuatu persembahan multimedia lebih menarik.





Audio

• Audio ialah bunyi yang boleh didengar oleh telinga manusia.

• Audio digital disimpan dalam pelbagai format berdasarkan kualiti bunyi, saiz fail dan keserasian dengan perisian aplikasi.

• Audio boleh digunakan untuk membantu penyampaian sesuatu mesej dengan lebih berkesan seperti penggunaan suara latar atau kesan khas audio.

• Terdapat pelbagai format fail audio yang sering digunakan bagi menyimpan audio dalam bentuk digital. Sebagai contoh ialah *.wav, *.aiff, *.midi, dan *.mp3.

• Penggunaan audio yang sesuai membantu meningkatkan daya tarikan terhadap sesuatu persembahan.

• Daya tumpuan terhadap sesuatu persembahan multimedia dapat ditingkatkan melalui penggunaan audio dalam persembahan multimedia.





Video

• Video ialah visual yang dirakamkan dan dimainkan dalam bentuk analog serta digital.

• Video dalam format analog perlu diubah ke format digital bagi membolehkannya digunakan dalam produk multimedia komputer.

• Video digital lebih mudah disunting, disimpan dan dihantar berbanding video analog.

• Kelebihan penggunaan video ialah dapat menyediakan kaedah penyaluran mesej yang amat menarik dan hidup.

• Video streaming yang dimampatkan membolehkan fail video yang besar dikecilkan tanpa mengubah kualitinya. Video digital boleh ditonton melalui internet, menggunakan perisian aplikasi seperti Real Player, QuickTime, dan Windows Media Player.





Animasi

• Animasi ialah satu proses pemaparan jujukan siri imej statik untuk mendapatkan kesan gerakan.

• Animasi dalam persembahan multimedia mampu menarik perhatian pengguna dengan lebih mudah.

• Animasi juga membantu di dalam menjelaskan sesuatu konsep yang kompleks dengan lebih mudah.

• Penggunaan animasi dapat mengurangkan tahap abstrak sesuatu mesej yang hendak disampaikan.

• Animasi berkomputer boleh dikategorikan kepada dua bahagian utama iaitu animasi 2D dan animasi 3D.