Thursday, August 04, 2011

Pembangunan Multimedia

Langkah-Langkah Pembangunan Bahan Multimedia

Pembangunan multimedia merupakan satu proses yang kompleks dan memerlukan perancangan yang tepat kerana ianya bukan hanya melibatkan pengurusan pembangunan perisian semata-mata malah turut melibatkan projek penghasilan beberapa media secara serentak. Pembangunan multimedia adalah meliputi semua aspek iaitu dari idea atau konsep awal hingga ke peringkat penyebaran produk atau sistem multimedia. Kejayaan sesuatu projek pembangunan multimedia sangat bergantung kepada langkah-langkah yang terlibat dalam proses pembangunan multimedia tersebut.

Bagi pembangunan bahan multimedia pendidikan, adalah dicadangkan supaya pembangun mengaplikasikan teori dan reka bentuk pengajaran untuk bidang yang berkaitan. Dalam reka bentuk pengajaran, pelbagai aspek seperti teori pembelajaran, model reka bentuk, strategi pembelajaran dan reka bentuk mesej perlu diambilkira dalam pembangunan bahan multimedia pendidikan.



Secara umumnya langkah-langkah yang terlibat dalam membangunkan bahan multimedia ialah analisis, perancangan dan reka bentuk, pembangunan, implementasi, pengujian dan penilaian bahan multimedia.





4.1.1 Analisis



• Langkah pertama yang perlu dijalankan dalam proses pembangunan bahan multimedia ialah analisis khususnya analisis keperluan.

• Analisis keperluan dapat membantu pembangun menentukan dan mengenalpasti kumpulan sasaran khususnya dari segi keperluan pengguna yang perlu diberi perhatian.

• Melalui analisis keperluan juga, pembangun akan dapat mengenalpasti keperluan dari segi perkakasan dan perisian yang akan digunakan semasa proses pembangunan.

• Pada peringkat ini, beberapa soalan perlu dibincangkan sebelum membangunkan sesuatu bahan multimedia. Contoh-contoh soalan tersebut ialah:

a. Apakah tajuk yang hendah disampaikan?

b. Siapakah kumpulan sasaran?

c. Apakah pendekatan yang ingin digunakan? Contoh : pendidikan,

motivasi, penerangan dan sebagainya.

d. Apakah yang anda ingin pengguna dapat setelah menonton

persembahan ini?

e. Bagaimana untuk mencapai matlamat dengan sumber yang sedia ada?





4.1.2 Perancangan dan reka bentuk



• Selepas melaksanakan analisis keperluan, kita perlu mengenalpasti dan merancang penyelesaian.

• Proses perancangan adalah proses merancang penyelesaian kepada masalah yang timbul dan menentukan media apakah yang sesuai digunakan.

• Langkah-langkah berikut perlu dilakukan:

a. Lakukan sumbangsaran untuk mengenal pasti masalah dan

merancang penyelesaian.

b. Tulis apa-apa sahaja idea yang difikirkan

c. Kemudian pilih idea-idea yang terbaik

d. Idea-idea yang terbaik ini akan digunakan dalam reka bentuk

bahan multimedia

• Proses reka bentuk adalah proses mereka satu penyelesaian yang spesifik ke atas masalah yang dihadapi. Ini melibatkan penyediaan carta alir dan papan cerita.

• Carta alir merupakan satu aliran simbol yang menggambarkan struktur dan interaksi pengguna. Ianya menggambarkan perjalanan aplikasi iaitu bahan multimedia yang akan dibangunkan.

• Papan cerita merupakan siri imej atau lakaran yang menjelaskan atau menggambarkan penyusunan, urutan dan perincian maklumat bagi paparan persembahan multimedia yang akan dibangunkan.

• Lakaran boleh disediakan dengan menggunakan tangan dan komputer.

• Tujuannya ialah untuk mengambarkan perancangan senario dalam

menyampaikan cerita.

• Ringkasnya, papan cerita ini menentukan kandungan skrin, reka bentuk skrin dan perkaitan antara satu skrin dengan skrin yang lain.

• Papan cerita yang lengkap dapat menyediakan maklumat yang

mencukupi bagi membantu pengurus projek menghalusi anggaran kos

dan tempoh yang diperlukan untuk menghasil produk bahan

multimedia.





4.1.3 Pembangunan



• Proses pembangunan bahan multimedia adalah proses memindahkan segala maklumat yang disediakan dalam langkah-langkah sebelum ini ke dalam komputer sehingga aplikasi sebenar yang diperlukan terhasil.

• Proses pembangunan melibatkan penghasilan elemen-elemen yang ditentukan di dalam langkah sebelum ini.

• Semua isi kandungan dan elemen media digunakan dalam aplikasi diintegrasikan menjadi satu aplikasi lengkap.

• Pada kebiasaannya tugas ini dilakukan oleh pengaturcara atau pengubah aplikasi (pengarang).

• Pengaturcara perlu mengaturcarakan interaksi dan navigasi supaya skrin-skrin paparan tersebut berfungsi sebagai satu aplikasi multimedia yang lengkap.

• Mengekod pula merupakan proses pengaturcaraan yang dilakukan oleh pengaturcara dalam pembangunan multimedia melalui penggunaan bahasa pengaturcaraan.

• Manakala pengubah aplikasi (pengarang) pula membangunkan bahan multimedia melalui pengarangan.

• Pengarangan merupakan proses pengintegrasian elemen-elemen multimedia dan memberikan kawalan secara interaktif atau bukan interaktif terhadap elemen-elemen tersebut menggunakan alat pengarangan.





4.1.4 Implementasi



• Aktiviti yang dijalankan semasa implementasi ialah latihan pengguna.

• Pengguna perlu diberi panduan penggunaan bahan multimedia yang dibangunkan supaya mereka berkeyakinan terhadap kaedah yang mungkin baru bagi mereka dan dapat menggunakannya dengan sebaik mungkin.





4.1.5 Pengujian dan penilaian



• Aktiviti pengujian perlu dilaksanakan secara berterusan sejak dari awal lagi. Proses pengujian ini merentasi kesemua fasa kerja yang lain.

• Bagi pembangunan bahan multimedia melalui pengaturcaraan, beberapa ujian dan nyahpijatan perlu dilakukan semasa program dibina.

• Pengujian perlu dilakukan untuk mempastikan tiada masalah dan aplikasi yang dibangunkan itu memenuhi kehendak pengguna.

• Secara ringkasnya, proses pengujian akan dapat:

i. mengelakkan kegagalan aplikasi semasa digunakan oleh pengguna

ii. mengelakkan kerugian dari segi kos dan masa pembangunan

iii. membolehkan kualiti aplikasi dipertingkatkan lagi.

• Bagi aplikasi multimedia pendidikan, terdapat dua jenis penilaian yang perlu dilakukan iaitu penilaian formatif dan penilaian sumatif.

• Penilaian formatif dilakukan pada setiap langkah untuk memastikan bahan multimedia yang dibangunkan menepati kehendak dan objektif pembangunan

• Penilaian sumatif pula dilakukan untuk mendapatkan maklum balas terhadap keberkesanan bahan multimedia yang telah dibangunkan.

• Selain daripada ujian, kaedah soal selidik boleh digunakan untuk mendapatkan pendapat pengguna tentang beberapa aspek seperti navigasi, mesra pengguna dan penggunaan elemen-elemen yang digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada pengguna.





Apabila suatu aplikasi itu selesai disemak semula dan diuji maka ianya boleh disebarkan kepada pengguna. Penyebaran produk bahan multimedia yang telah siap sepenuhnya kepada pengguna boleh dilakukan melalui pelbagai cara seperti dalam bentuk CD dan melalui laman web.



Produk akhir ini perlu dikompilkan sebelum menghasilkan CD dan laman web. Produk akhir dalam bentuk CD-ROM biasanya boleh dilaksanakan tanpa memerlukan alat pengarangan. Namun bagi sesetengan produk akhir, perisian tambahan (third party software) diperlukan. Manakala, produk akhir dalam bentuk laman web biasanya boleh dicapai menggunakan internet. Format fail biasanya mempunyai sambungan .htm atau .html.



Segala maklumat tentang projek iaitu dari segi proses pembangunan dan isi kandungannya perlu didokumentasikan sebagai rujukan. Ia penting bagi tujuan penyelenggaraan dan perubahan yang perlu dilakukan terhadap program yang telah siap tetapi tidak menepati kehendak pengguna. Dokumentasi juga penting untuk program yang telah disiapkan. Ia merupakan penerangan mengenai

a) cara penggunaan

b) matlamat program

c) aktiviti atau latihan jika ada

d) nombor atau alamat dihubungi jika berlaku masalah.





4.2 Alat Pembangunan Multimedia



Secara umumnya terdapat dua pendekatan utama yang boleh digunakan bagi membangunkan suatu perisian multimedia iaitu menggunakan bahasa pengaturcaraan dan alat pengarangan.



Bahasa pengaturcaraan seperti Visual Basic, Java dan C++ merupakan perisian yang berkebolehan tinggi bagi membangunkan sesebuah program komputer. Walau bagaimanapun, ianya memerlukan pengetahuan dan kemahiran di dalam mengekod dan mengaturcara program.



Alat pengarangan merupakan perisian komputer yang digunakan untuk menghasilkan aplikasi multimedia. Dalam penggunaan alat pengarangan, pembangun cuma perlu menumpukan kepada pembangunan aplikasi multimedia tanpa perlu khuatir tentang perincian teknikal dan memahami bahasa pengaturcaraan.



Alat pengarangan menyediakan peralatan atau pilihan menu, ikon dan sebagainya terus dari skrin yang membolehkan pembangun memasukkan elemen-elemen multimedia seperti teks, grafik, animasi, audio dan video serta interaktiviti. Ianya mudah digunakan dan boleh digunakan oleh seorang yang bukan pengaturcara program komputer.



Alat pengarangan yang popular dalam membangunkan bahan multimedia ialah Macromedia Authorware, ToolBook, dan Macromedia Director. Setiap bahasa ini mempunyai pendekatan dan keistimewaan tertentu dalam melaksanakan suatu aturcara tertentu.



Jenis alat pengarangan boleh dikelaskan kepada empat jenis sepertimana ditunjukkan dalam Jadual 2.1



Jadual 2.1 Perbandingan pelbagai jenis alat pengarangan



Alat Pengarangan Antara Muka Contoh

Alat pengarangan berasaskan slaid Persembahan dihasilkan dengan siri slaid. Microsoft PowerPoint

Alat pengarangan berasaskan buku Tata susunan kad atau lembaran buku Toolbook

Alat pengarangan berasaskan ikon Ikon-ikon yang disusun dalam suatu carta aliran Macromedia Authorware

Alat pengarangan berasaskan masa Frame atau garis masa Macromedia Director dan Flash



Pemilihan alat pengarangan yang hendak digunakan dalam pembangunan multimedia bergantung kepada perkara-perkara berikut:

• Kepakaran pembangun untuk menggunakan alat pengarangan dan bahasa pengaturcaraan

• Bentuk produk yang hendak dihasilkan seperti pakej PPBK, kiosk, laman web atau iklan

• Kos alat pengarangan dan perlesenan

• Keserasian alat pengarangan dengan elemen multimedia

• Keserasian alat pengarangan dengan sistem komputer

• Media pengedaran produk seperti web dan CD.