Thursday, July 14, 2011

Media Pengajaran

Konsep Media dan Media Pengajaran




Bidang teknologi pengajaran tercetus daripada pergerakan audio visual yang kemudiannya dikenali sebagai media pengajaran. Oleh itu, bolehlah dikatakan media pengajaran menjadi pengasas kepada penubuhan bidang teknologi pengajaran.



Media atau medium bermakna saluran komunikasi. Istilah ini berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud perantara. Media digunakan untuk membantu proses komunikasi (Heinich, 2002) Ia merujuk kepada apa sahaja yang membawa maklumat daripada penyampai kepada penerima. Contoh media termasuklah filem, televisyen, radio, rakaman audio, gambar foto, bahan bercetak, komputer dan pengajar.



Definisi asal tentang media menekankan bentuk atau cara fizikal yang membolehkan mesej pengajaran disampaikan. Ini bermakna yang menjadi fokus ialah peralatan yang membawa mesej dan mengenepikan peranan mesej itu sendiri. Sedangkan yang menggerakkan dan memberi kesan kepada manusia ialah mesej.



Oleh itu menurut Torkleson (1972), media perlu mempunyai tiga bahagian, iaitu mesej, bentuk mesej dan saluran mesej. Mesej merujuk kepada isi kandungan dalam media itu sama ada mesej yang berbentuk memberitahu, menaikkan semangat dan lain-lain adalah dikira sebagai mesej. Bentuk mesej pula berkaitan bagaimana mesej itu disimpan. Mesej boleh disimpan dalam bentuk perkataan, lisan, gambar, objek, simbol dll. Manakala saluran mesej ialah peralatan fizikal dalam bentuk elektrikal atau mekanikal yang membolehkan mesej dipersembahkan kepada pelajar seperti televisyen, projektor LCD, komputer.