Sunday, August 07, 2011

Penyelidikan Pendidikan (JTP)

PENERIMAAN PENSYARAH INSTITUT PENDIDIKAN GURU (IPG) TERHADAP
SISTEM PEMBELAJARAN DALAM TALIAN - MyCLASS ONLINE

Dr. Abdul Hadi bin Mat Dawi, Norlia bt. Mat Esa, &
Ridza Ahmad Nizam b. Abd. Raof
Jabatan Teknologi Pendidikan, IPG Kampus Ipoh, Perak.
drhadi@ipip.edu.my; norlia@ipip.edu.my; ridza@ipip.edu.my

Abstrak

Kajian ini bertujuan mengkaji penerimaan pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) terhadap sistem pembelajaran dalam talian - MyClass Online. Secara khususnya, kajian ini mengkaji hubungan faktor-faktor penerimaan inovasi dengan sikap terhadap penggunaan MyClass Online, hubungan sikap terhadap penggunaan MyClass Online dengan keinginan menggunakan MyClass Online, dan hubungan keinginan menggunakan MyClass Online dengan penggunaan sistem MyClass Online dalam kalangan pensyarah IPG.

Kajian ini adalah berasaskan kepada Model Peringkat Membuat Keputusan Proses Inovasi (Rogers, 1995) dan Technology Acceptance Model (TAM) (Ngai, Poon & Chan, 2007). Kajian ini merupakan kajian tinjauan dengan menggunakan pendekatan kuantitatif. Kajian ini menggunakan dua instrumen kajian iaitu (1) MyClass Online; dan (2) Borang Soal Selidik. Kutipan data dijalankan dengan menggunakan borang soal selidik yang diedarkan secara rawak kepada pensyarah-pensyarah di setiap jabatan dan unit di IPG Kampus Ipoh. Bilangan responden yang disasarkan dalam kajian ini adalah seramai 150 orang. Semua data yang diperoleh melalui prosedur kutipan data dianalisis menggunakan “Statistical Package for Social Sciences (SPSS)” versi 15. Analisis regresi mudah dan analisis regresi berganda peringkat demi peringkat digunakan bagi menentukan sumbangan relatif setiap pembolehubah bebas terhadap pembolehubah bersandar. Dapatan kajian menunjukkan persepsi mudah guna MyClass Online merupakan peramal terbaik bagi sikap terhadap penggunaan MyClass Online. Ini diikuti oleh persepsi faedah, tahap pendidikan tertinggi pensyarah, pengalaman mengajar, sokongan teknikal dan umur pensyarah menyumbang kepada sikap terhadap penggunaan MyClass Online. Dapatan ini memberikan petunjuk bahawa sikap terhadap penggunaan MyClass Online dalam kalangan pensyarah paling dipengaruhi oleh persepsi mudah guna MyClass Online. Manakala sikap terhadap penggunaan MyClass Online merupakan peramal yang signifikan terhadap keinginan menggunakan MyClass Online. Keinginan menggunakan MyClass Online merupakan peramal yang signifikan terhadap penggunaan sistem MyClass Online.

(Kata Kunci: Pembelajaran dalam talian, Penerimaan inovasi)