Friday, June 24, 2011

Konsep Teknologi

Perkataan teknologi berasal daripada bahasa Yunani, “techne” yang bermakna kemahiran menggunakan pengetahuan secara sistematik sehingga terbit satu amalan yang praktikal bagi melaksanakan sesuatu tugas.



Teknologi ialah kemahiran menggunakan pengetahuan (saintifik) secara sistematik sehingga terbit satu amalan yang prkatikal bagi melaksanakan sesuatu tugas. (Galbraith, 1967)



Teknologi bukan semata-mata alat dan mesin sahaja tetapi lebih berupa seni atau sains bagaimana menggunakan suatu alat untuk mencapai tujuan tertentu. (Evan & Nation , 2000) Kata Heinich, Molenda dan Rusell (1969) “Teknologi bukan semata-mata alat dan mesin sahaja. Ia merangkumi proses dan idea. Kekuatannya terletak terutamanya pada proses dan idea, manakala kejayaan untuk mencapai sesuatu maksud atau objektif terletak pada alat.



Ini bermakna, dalam merancang sesuatu pengajaran, perancangan awal yang melibatkan penggunaan idea sama ada dalam bentuk teori, pendekatan, kaedah dan sebagainya adalah merupakan proses yang terpenting. Alat pula merupakan “pemangkin” ke arah mencapai kejayaan.”



Pengajaran pula merupakan penyampaian maklumat dan pemindahan maklumat yang mendorong pembelajaran serta membina manusia yang lebih baik (Wan Zah Wan Ali, 2000) Ini bermakna pengajaran ialah proses bekerja bersama pelajar untuk membantu mereka berkebolehan dan berkemungkinan untuk belajar, memastikan perubahan kefahaman yang menggalakkan pelajar terlibat secara aktif dalam pelajaran (Ramsden, 1993 et al)



Teknologi pengajaran ialah satu proses yang kompleks dan bersepadu yang melibatkan manusia, prosedur, idea, peralatan dan organisasi untuk menganalisis masalah-masalah serta mereka bentuk, menilai dan menguruskan penyelesaian kepada masalah-masalah dalam keadaan di mana proses pembelajaran itu adalah bermatlamat dan terkawal. (AECT 1977)



Teknologi pengajaran melibatkan aplikasi media, sistem, pendekatan dan teknik-teknik ke arah pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. (BTP, 1991) Dengan kata lain, Teknologi pengajaran adalah satu bidang yang berusaha ke arah meningkatkan kualiti atau keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.



Teknologi pendidikan pula ialah proses yang kompleks dalam menganalisis keperluan pendidikan secara sistematik, saintifik dan rasional bertujuan untuk mereka bentuk dan mengaplikasikannya secara sepadu idea, tenaga, sumber bahan, kaedah dan tatacara untuk mempertingkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Untuk memudahkan, istilah teknologi pengajaran akan digunakan seerti dengan teknologi pendidikan.

Tuesday, June 21, 2011

Sistem Pengurusan Pembelajaran

Konsep dan Ciri-Ciri

Sistem pengurusan Pengajaran (SPP) merupakan satu sistem yang boleh mengurus aktiviti dan bahan pengajaran yang diperlukan. Secara khususnya, SPP merupakan perisian yang menyediakan kemudahan infrastruktur untuk merancang, menghantar dan menguruskan program e-Pembelajaran. SPP digunakan untuk menyampai, menjejak dan mengurus latihan.

SPP yang paling mudah ialah SPP yang digunakan bagi mengurus rekod latihan. Manakala SPP yang lebih kompleks ialah perisian yang digunakan bagi menyampaikan kursus melalui internet dan menawarkan kemudahan kolaborasi secara atas talian.